Saturday, March 7, 2009

Puisi Hati Untuk Baginda...

>> Perbanyakkanlah selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Bukti kecintaan kita kpd baginda dan penghargaan teragung atas perjuangan baginda mengangkat martabat Iman dan Islam serta kecintaan kepada ummat baginda. "Barangsiapa yang berselawat ke atas ku sekali, maka, Allah s.w.t akan berselawat (memberi rahmat) ke atasnya sepuluh kali" (Riwayat Muslim). Serta doakan la baginda dan ummat baginda agar beroleh syafaat pada hari kiamat kelak. <<

KESEDARAN

Kitab itu ku tutup
Qalam di tangan ku lepaskan
Membiar keheningan malam
Menyapa diri
Dalam suasana sepi
Sebegini
Air mata mengalir
Membasahi pipi
Kenapa?
Begitu tanya hati

Merenung diri
Yang penuh dengan noda dosa
Kerana memilih hina
Setelah datangnya mulia
Merenung diri
Yang semakin alpa
Kerana memilih jahil
Sedangkan ku tahu
Jahil itu batil
Ku biarkan
Linangan itu berterusan

Sukma meronta kesal
Jiwa berkecamuk resah
Raga membungkam gundah
Mengingatkan bait-bait kalimah
Dalam Kitab pusaka
"Jika kamu mencintai
Tuhan Yang Maha Kuasa
Maka, ikutilah aku
Rasul pilihan-Nya"
Sungguh aku lupa
Disibukkan dengan tugasan kerja

Sungguh aku lupa
Janji yang kau berikan
Wahai Rasul junjungan
Mana mungkin sesat
Ummatmu sepertiku
Andai kemudi hidup terikat
Dengan sunnahmu
Dan panduan Kitab
Benar janjimu bagai dikata
Menyentak sanubariku
Laksanakan kilat

Dalam linangan itu
Aku merentet sejarah
Perjuanganmu Nabi pilihan
Dalam melunaskan wahyu Tuhan
Kau tempuhi dugaan
Najis, duri, batu, cercaan dan tohmahan
Bukan alasan
Untuk kau tinggalkan
Ummatmu dibelengu
Bahana kehancuran

Ya, wahai Rasulullah
Tangisanmu bukanlah rintihan
Tetapi mohon agar dicekalkan
Sedumu bukan aduan
Terhadap sikap manusia
Yang keterlaluan
Lantaran dakwahmu tidak diendahkan
Namun
Doamu tetap dimakbulkan
Agar dosa ummat
Akhirul zaman ini
Tidak sukar diampunkan

Dalam hening malam itu
Lalu ku seka
Air mata terakhir
Lantas bangkit
Sebelum fajar menyinsing di kaki langit
Untuk ku bersihkan diriku
Batin dan zahir
Di tikar sembahyang itu
Aku lahirkan kesyukuraan
Dan kegembiraan
Atas kesedaran yang Engkau kurniakan

Betapa rindu
Betapa cintanya aku
Terhadapmu Rasulullah
Tidak mungkin terungkap
Hanya dengan kata-kata
Tidak mungkin juga ternyata
Dalam bait-bait
Puisi ini untukmu
Dan biarlah mentari pagi
Yang memancar hari ini
Menjadi saksi
Tegarnya aku
Meneruskan perjuanganmu..

Karya;
Nurhalim bin Ahmad

Faculty of Dentistry

6 Mac 2009 / 9 Rabi'ul Awwal 1430h

3.30 pm

No comments: