Puas kau berkelahi, di mana lagi kedamaian kan ku perolehi
Dengarkan sajak ini
Damai yang ku cari..
Pernah...
Negarawan dulu bermadah
"Untuk ku cari damai abadi"
Bukan harta bertimbun
Yang perlu ku cari
Bukan wang berjuta-juta
Harus ku himpuni
Bukan kawan-kawan untuk berfoya
Yang harus ku minta temani
Negarawan itu hanya mencari
Al-Ghazali, Asy-Syafi'e
Beliau mencari pedoman
Dengan membongkar rahsia kitab suci
Beliau mencari panduan
Daripada rahsia sunnah nabi
Kerana dalam madah beliau
Hidup beliau hanya kerana Mu Rabbi
Untuk hidup beliau lebih beerti
Mencari damai abadi...
Hari ini...
Aku pula ingin berbicara, berpuisi
Kedamaian abadi, ketenangan hakiki
Semakin sukar ku dapati
Di bumi bertuah ini
Kalau dulu
Ingin ku bicarakan
Perpecahan di kalangan kami
Adalah mustahil sama sekali
Kami bersatu hati
Utuhnya seperti jati
Walau datang badai taufan
Isu bangsa, bahasa dan agama
Ideologi, parti dan globalisasi
Semuanya berjaya di tangani
Berkat toleransi dan saling memahami
Kami hidup berkongsi hasil bumi
Penguasa mengerti, rakyat menghormati
Tiada sengketa, tiada dengki
Alangkah hebatnya
Kurniaan Ilahi ini
Tidak kala ini
Di dada akhbar, di media
Masing-masing mengutuk mengeji
Masing-masing dendam memusuhi
Mereka mencari harta dan wang
Untuk melobi kemenangan parti
Mereka mengumpul teman-teman
Jadikan mereka sebagai kroni
Di sana melaungkan transformasi
Yang sukar untuk ku percayai
Di sini pula sibuk mengapi-api
Kononnya ingin membersih
Senarai undi dan korupsi
Pening, bingung melihatkan
Besarnya visi
Entahkan berisi
Cukuplah menghidangkan kami
Dengan sandiwara politik ini
Tidakkah kamu lihat masalah sosial
Semakin parah tiada usaha menangani
Apakah ini ketamadunan
Kemakmuran yang kamu impi
Sedang kepada dunia sanggup kamu mengabdi
Agama bukan tunjang perjuanganmu lagi
Panduannya telah kamu letak ke tepi
Apakah yang akan kamu jawab
Bila kelak kamu menghadap Ilahi
Terhadap segala yang kamu janji
Tidak hairanlah
Bumi sudah mula membenci
Kamu lihat di sana sini
Banjir, tanah runtuh dan gempa bumi
Semuanya petunjuk untuk kita sedar diri
Akan harapan Ilahi
Supaya manusia menjadi
Khalifah di bumi
Kerisauan malaikat pula
Yang semakin pasti
Masihkah ada lagi kedamaian
Di bumi bertuah ini...
Nukilan
Nurhalim bin Ahmad
8.30 pm / 29.6.2011